Mari kita bantu apa yg mampu...Sedih sangat
ketahuilah..bahawa kat Msia ni..ada ramai lagi org hidup sgt susah, definitely jauh lebih susah dari kita ...
copy paste dari FB...dgn harapan kita semua dpt lah menyumbang seringgit dua kalau tak byk pun...Insya Allah saham kita di akhirat sana...apa yg kita spend utk diri sendiri..tak ke mana pun..yg kita derma tu lah sebenarnya harta kita..harta abadi bekalan di sana...
Khidmat Masyarakat
Berkelip-kelip meter minyak kereta aku.
Dalam beg duit cuma ada RM6.00, baki sarapan dan makan tengahari hari ini. Duit syiling yang banyak dalam kereta sudah aku keluarkan dan masukkan ke dalam tabung anak-anak minggu lepas.
Dalam kepala aku cuba mengingat baki dalam akaun bank, "Cuma RM51 lebih je. Kena cari mesin Maybank kalau nak keluar ni, tak boleh mesin bank lain, tak cukup baki."
Aku pantas membelok ke stesen minyak Petronas berhampiran yang mempunyai mesin ATM Maybank dan mengeluarkan RM50. Aku bergerak ke kaunter, lalu kuhulurkan not RM50 tadi berserta Kad Mesra aku.
"Lima puluh ya, encik?" Aku mengangguk bersetuju.
Setelah selesai mengisi minyak, aku memandu keluar dari bandar Segamat. Aku singgah dulu ke kedai jahit nyonya Ah Soi, pemilik bilik yang aku sewa. Tujuanku untuk memberitahu yang aku akan outstation selama beberapa minggu bermula minggu hadapan. Jadi aku memerlukan nombor akaun bank dia untuk aku masukkan duit sewa.
"Haiyyyaaa... tak perlu maaa... you sudah bagitau saya sudah cukup. Yang penting nanti you bayar."
"Ok Auntie, saya janji nanti 16 haribulan," aku cuba mengingat tarikh program, "eh bukan, 17 haribulan saya datang bayar," balas aku menguntum senyum berjalan keluar dari kedai, sambil mata aku melirik ke arah seorang amoi dan seorang meenachi yang sedang menggunting baju untuk dijahit.
Bandar Segamat agak sesak hari ini. Mentang-mentanglah hari Khamis balik pukul 3.30 petang, eksyen diorang ya (termasuk aku la tu).
Sebaik melepasi lampu isyarat di Taman Yayasan, menuju ke Muadzam Shah, aku mula memecut laju kerana ingin cepat sampai ke Rompin, rumah keluarga aku. Terbayang-bayang anak-anak aku sedang bermain basikal di hadapan rumah.
Tiba-tiba aku ternampak sebuah gerai payung bersebelahan tempat menunggu bas, tak jauh dari Taman Yayasan tu.
KUPANG! Cepat-cepat kaki aku menekan pedal brek sebab dah terlajak. Aku teringat pesan isteri aku yang sentiasa berkehendakkan kupang Segamat. Selama ni aku berulang Rompin - Segamat - Rompin tak nampak pun gerai kupang. Alih-alih hari ni ada pula.
Aku teringat dalam beg duit aku cuma ada RM6.00. Dalam bank memang haram la, dah tinggal seringgit! Aku berhenti ke sebelah kiri jalan. Aku buka beg duit aku dan belek dicelah-celahnya, mana tau kot ada duit terselit. Tak ada pun... huhuhuhu.
Aku teringat isteri aku lagi. Lalu aku pantas membuat pusingan U, berpatah semula ke gerai kupang tadi. Dalam hati aku berharap sangat harga kupang tu murah.
Bila aku turun dan tengok tanda harga, ada dua saiz kupang yang budak tu jual. Yang kecil berharga RM6.00 satu kilogram, manakala yang besar sedikit berharga RM8.00 satu kilo. Aku tengok yang kecil tu memang kecil betul.
Aku lalu mengeluarkan duit seringgit enam keping, dan mengunjukkan kepada budak tersebut, "Bagi kupang yang ni enam ringgit, dik."
"Yang besar tu lapan ringgit, bang. Yang kecik ni enam ringgit." Pelik budak tu tengok muka aku. "Tak apa, adik kira la enam ringgit dapat berapa ratus gram, 700 ke, 800 ke," jawab aku selamba. Budak itu pun mulai faham, dan membuka beg plastik lalu memasukkan kupang yang besar sambil membuat timbangan.
Sedang aku ralit melihat adik tu membungkus kupang untuk aku, datang seorang makcik yang aku agak dalam umur lima puluhan menyapa aku.
"Adik nak balik mana, dik?"
Aku memandang makcik tu lalu menjawab, "Saya nak balik Rompin, kak." Entah kenapa terpanggil 'Kak' pulak.
"Kami nak tumpang boleh? Kami nak pi balik Mersing."
Dalam hati aku, "Aduhhh, Mersing, jauhnya!" Aku cuba bagitahu sekali lagi mana tahu makcik tu tersilap dengar, "Saya nak ke Rompin, kak."
"Makcik ni nak balik ke Cenderawasih la, bang!" Budak penjual kupang tadi menyampuk. Aku rupa-rupanya yang tersilap dengar!
"Haaaa, kami nak pi Cenderawasih ja. Boleh ka kami tumpang adik?"
Cenderawasih seingat aku memang dalam perjalanan ke Muadzam je, tak jauh pun. Aku pun memang lalu situ. "Ok kak, tak ada masalah."
"Cepat, cepat, naik kereta abang tu," kata makcik tadi kepada dua orang budak kecil, seorang perempuan dan seorang lelaki, yang sedang memegang beberapa bungkusan. Mungkin barangan dapur dibeli di pasaraya.
Aku pula mengemas sedikit kereta aku yang bersepah. Beg pakaian aku letakkan di belakang. Tak sempat aku nak pindahkan barang-barang yang bersepah di lantai kereta, budak-budak dah masuk. Di bahagian hadapan pula, ada naskhah terjemahan al-Quran aku tak sempat nak alih juga dari tempat duduk kiri. Makcik tu pula dah duduk di bahagian belakang dengan budak-budak. "Kak, duduk kat depan la, kak. Tak apa..." sapa aku tapi tak diendah.
Aku sambung pemanduan. VCD karaoke yang aku pasang sejak awal tadi aku perlahankan sedikit.
"Kak, ni cucu ke?"
"Ha'ah, ni cucu-cucu akak. Mak diorang tak balik. Anak akak kerja jauh, di Penang."
"Yang ni darjah berapa?" Soal aku sambil memandang tepat ke muka budak perempuan.
"Yang kakak darjah dua, yang adik darjah satu baru." Aku terus teringatkan Adam.
"Akak pergi mana tadi?"
"Pergi buat gambar cucu. Entah la sekolah ni, kita bagi borang, dia nak gambar pulak. Jadi kami buat la di Segamat."
"Oooo..."
"Kalau buat gambar di bandar Segamat baru sepuluh ringgit. Tapi tadi tumpang cikgu dia. Cikgu dia berhentikan dekat tempat tadi (Taman Yayasan), mahal la sikit kena dua belas ringgit. Kita nak kata apa, dah dia cakap kat situ pun ok la boleh jugak, akak pun ikut je la nak kata apa."
"Oooo..." Aku memang macam tu, bila berbual dengan orang dalam kereta, aku dengar tak dengar, aku main sebut, 'Oooo' je la!
"Kenapa Akak tak buat kat Muadzam? Jauh lagi ka?" Aku terkeluar loghat Kedah.
"Jauh! Kalau pi Muadzam kami kena lima ringgit. Kalau pi Segamat baru tiga ringgit!" Mungkin dia merujuk harga tiket bas.
"Ooooo..." balas aku lagi sambil telinga turut melayan lagu karaoke Lamunan Terhenti dendangan Aris Ariwatan. Hajatnya aku memang nak menyanyi lagu tu kuat-kuat sebab aku nak hilangkan rasa mengantuk. Tapi ada pulak akak ni dengan cucu-cucu dia. Mulut aku terkumat-kamit perlahan mengikut rentak.
Tiba-tiba terdengar budak-budak menjerit riang, "Biru!" "Merah!"
"Apa biru apa merah?" Tanya aku sambil tertawa.
"Depa tengok kat TV tu, dia tukaq warna merah dengan biru." Rupa-rupanya lirik lagu tu yang tukar warna bila dinyanyikan.
"Adik diam sikit dalam kereta Abang."
"Tak apa, kak. Budak-budak."
"Akak ada ramai adik-beradik, tapi semua dok jauh. Yang paling dekat pun di Sungai Lembing ja. Yang lain semua dok di Kedah, Perak, Penang..."
"Oooo... habih yang mak budak-budak ni selalu ka balik?"
"Dia balik masa raya ja. Laki dia pun kerja jauh. Dia kerja nurse kat hospital di Penang. Akak dah pernah suruh dia mintak pindah Hospital Segamat. Tapi dia tak mau. Dia kata dah lama kerja di Penang. Dia pun dulu sekolah di Penang. Jadi dah selesa kat sana, dia tak mau la pindah.
Akak pun pi Segamat selalu tumpang orang ja. Selalu tunggu la tepi jalan tu. Kadang-kadang tumpang lori. Kadang-kadang naik kereta polis.
Pernah bila akak terlepas bas nak balik, akak pi balai polis. Depa hantaq la kak balik. Kalau dah lewat malam, depa suruh kak tidoq di balai dulu. Esok pagi baru kak balik naik bas."
Aku tertanya-tanya akan suami akak tu. Tapi aku agak mesti dah meninggal, jadi aku pendamkan saja soalan aku.
Aku ternampak papan tanda 'Cenderawasih, 500 meter lagi di hadapan'.
"Berhenti tepi ni ja takpa. Nanti kami jalan kaki masuk dalam."
Terdetik hati aku nak melihat rumah makcik ni. Aku pandang meter minyak aku, banyak lagi sebab baru isi tadi. "Tak apa la, kak, saya hantar."
"Eh, tak apa la, sini ja. Kami jalan kaki ja. Kalau ada kereta lalu kami tumpang la."
"Tak apa, kak, tak apa." Sebaik sampai ke simpang masuk Cenderawasih, aku terus belok ke kanan.
"Akak selalu jalan kaki dengan diorang ni ke kalau berhenti kat sini?" soal aku kehairanan. Aku tengok jalan menuju Cenderawasih lurus jauh di hadapan, tiada rumah di kiri mahupun kanan.
"Ha'ah. Kami jalan kaki ja."
Aku terpandang tanda aras di sebelah kiri, 'CENDERAWASIH - 4 KM'. "4 KM? Biar betul?!"
"Jauh ni, kak!" Soal aku terkejut.
"Selalu kami jalan dua jam setengah sampai la. Budak-budak ni takpa, depa jalan laju. Akak je la slow sikit. Sebab selalu berjalan, kasut sekolah depa tak sampai sebulan koyak la."
Hati aku dah mula bergetar sayu.
"Kalau ada kereta lalu ka, lori lalu ka, kereta polis lalu ka, depa bagi la tumpang. Dulu cikgu-cikgu kenal akak, depa selalu bagi tumpang. La ni cikgu-cikgu ramai yang baru, jadi susah la akak nak tumpang."
Dada aku dah naik sebak. Aku tarik nafas perlahan-lahan, mata aku dah mula bertakung.
"Habis akak dok sini dengan siapa?"
"Dulu arwah tok laki akak sewa rumah sini. Bila dia sakit kena strok, dia tak kerja dah la, Akak la dok jaga."
"Eh, bukan rumah akak sendiri?"
"Bukan! Kami dok sewa. Anak akak dulu ada cadang nak beli rumah. Ada la satu rumah tu orang nak juai 17 ribu, sampai la (sekarang) diam, takdak duit kot."
Sesampai di persimpangan, "Adik naik ikut sini," sambil menunjuk simpang ke kanan mendaki jalan bukit. "Rumah kami depan tu ja, tapi kalau ikut jalan teruih rosak kereta Adik, jalan tak elok." Walhal kereta aku tu kalau redah jalan berlopak tak ada masalah pun.
"Rumah kami depan tu ja. Berhenti sini takpa, kami jalan kaki."
"Takpa, kak, saya hantar sampai ke depan rumah." Tujuan aku nak melihat dengan mata kepala sendiri keadaan rumah makcik dan cucu-cucunya.
Sebaik melewati sebuah rumah kecil berdindingkan papan usang berwarna biru, aku disuruh berhenti. "Ini la rumah akak. Ni pintu kereta nak bukak macamana?"
Aku turun dan membuka pintu sebelah kanan berhampiran cucu dia. Kemudian aku buka bonet dan keluarkan semua barangan makcik tu tadi. Aku tolong letakkan di beranda rumah. Sambil itu aku menjenguk sekeliling melihat keadaan rumah.
"Dik, nah ni," makcik tu menghulurkan beberapa not biru dan hijau kepada aku, aku agak dalam RM7.00. "Eh, takpe kak, saya memang kebetulan nak balik Rompin je. Akak bagi kat cucu-cucu akak tu."
Aku diam seketika, sambil memandang gelagat budak-budak tadi yang sebaya dengan anak-anak aku sendiri.
"Akak ada terima bantuan tak? Dari Jabatan Kebajikan ke, mana-mana ke?"
"Dulu masa arwah suami akak sakit, ada la terima dari JKM, RM250 sebulan. Tapi bila suami akak meninggal, depa stop la."
"Kenapa akak tak mohon lagi?"
"Akak dah bagitahu Penghulu dulu. Borang ada pada dia. Akak mana reti menulis. Sampai sekarang takdak berita. Penghulu pun buat tak tau ja."
"Habis sekarang akak belanja pakai duit mana?"
"Ada la mak budak-budak ni bagi sikit, tapi tak cukup."
Memang la tak cukup, nak belanja sekolah lagi. Tiba-tiba datang seorang budak lelaki lain merapati dua orang tadi, "Tok Dah beli apa?"
"Tok beli makanan la untuk kita," jawab makcik tu sambil mengusap kepala budak tadi, "Ni cucu akak yang ketiga, dia pun tinggal dengan akak."
Maknanya makcik tu jaga tiga orang cucu. Macamana la makcik ni sara cucu-cucu dia?
"Akak ada terima lagi tak bantuan dari mana-mana pihak selain JKM?"
"Ada! Akak pernah dapat RM300 dari pusat zakat." Hati aku mulai lega. "Tapi tu masa raya ja. Lepas tu takdak dah!"
"Hah?! Maknanya akak terima sekali tu je la? Bukan bulan-bulan dapat?"
"Bukan!" Jawab makcik tu, pantas. Hati aku redup semula.
Lantas aku pun mengeluarkan telefon aku lalu mengambil beberapa keping gambar sekeliling, dan gambar makcik tu bersama cucu-cucunya.
Selepas seketika, "Kak, macam ni... saya ni sebenarnya rapat dengan YB di Rompin. Nanti saya maklumkan dekat dia keadaan akak. Mungkin dia boleh bagitau YB M****h kat sini. Ni kawasan Dato' M****h kan?"
"Ya la, dulu Dato' M****h ada datang. Dia pun dah bagitau kat Penghulu, tapi lepas tu Penghulu diam ja."
Kemudian aku minta kad pengenalan makcik tu, cucu dia, dan buku bank untuk aku ambil gambar dan jadikan bahan rujukan. Nama Rasidah bt Hussain, lahir tahun 1946. Mak aku pun lahir tahun 1953. Makcik ni lagi tua dari mak aku!
"Ok, kak. Saya cuba bantu akak ya. InshaaAllah, kalau ada orang lain yang sudi membantu mereka akan masukkan terus ke akaun akak. Saya juga akan bagitau YB pasal keadaan akak kat sini."
"Terima kasih la, dik. Akak tak tahu macamana nak balas."
"Tak apa, kak. Saya bantu setakat yang boleh."
Aku berlalu pergi, dengan berat aku menoleh ke belakang. Kelihatan makcik itu mengangkat tangan melambai kepada aku. Aku cepat-cepat mengalihkan pandangan ke hadapan. Aku tak sanggup melihat wajah-wajah yang aku tinggalkan. Aku nak hulur wang ringgit pun tak mampu sebab memang dalam poket aku dah kosong.
Sebaik masuk ke dalam kereta, aku terus meluncur keluar dari Cenderawasih, melalui jalan balak yang Tok Dah tu kata akan merosakkan kereta aku.
Aku cari balik lagu aku, dan aku menyanyi sekuat hati lagu yang aku nak karaoke tapi tak boleh sebab Tok Dah ada tadi, tapi kali ini feelingnya lain macam sikit.
"Entah mengapakah... hatiku bergetaran..." -- Aris Ariwatan - Lamunan Terhenti.
CATATAN:
Selama ni aku cuma baca di FB dan suratkhabar akan kesusahan rakyat Malaysia, kesan dari kerenah birokrasi serta tiadanya tanggungjawab dari orang yang dilantik memegang amanah. Bukannya aku tak pernah tengok, tapi aku tak pernah lalui sendiri seperti hari ini. Alhamdulillah, hari ni Allah nak tunjuk kepada aku, mungkin supaya aku dapat kongsikan dengan kita semua bahawa sesusah-susah kita kesempitan wang ringgit, ada lagi orang lain yang lebih susah dan lebih memerlukan wang berbanding kita.
Perkongsian aku ini tiada kaitan dengan politik. Maaf, YB tempat aku memang menjaga kawasan dia. Cuma mungkin ini terlepas pandang. Lebih-lebih lagi dengan sikap Penghulu tersebut. Siap kau aku repot dengan YB, muahahahaha.
Aku juga akan berkunjung ke pejabat JKM esok yang terletak beberapa ratus meter sahaja dari rumah aku bagi menyerahkan butiran maklumat Tok Dah untuk tindakan mereka selanjutnya.
Cuma kalau ada yang nak share cerita ini, silakan. Tapi tak payah la kutuk-mengutuk, buat dosa je dari pahala. Cerita ini aku kongsikan untuk renungan kita bersama.
NOTAKAKI:
Kepada individu yang ingin membuat sumbangan wang ringgit, bolehlah masukkan sumbangan tersebut terus ke akaun RASIDAH BINTI HUSSAIN, K/P 460511-08-5200, AKAUN MAYBANK 1010 5724 9856.
Kalau nak hantar barangan keperluan harian, pakaian, atau nak menghadiahkan basikal untuk adik-adik tu ke sekolah, sila ke alamat: NO. 14-066*, JALAN KUANG, RUMAH LADANG CENDERAWASIH, 86700 MUADZAM SHAH, PAHANG.
Tok Dah tak ada telefon.
*Nombor rumah Tok Dah memang 14-066, bukan 14007 seperti dalam kad pengenalan Tok Dah, tu silap. Dalam kad pengenalan cucu dia betul. As salam dan salam sejahtera!!!
"Nukilan ini hasil perkongsian (copy & paste) di internet. Kisah yang menyentuh hati, dengan fakta yang tidak meragukan oleh hamba Allah yang berkongsi kisah ini. Sama-sama kita membantu sedaya yang termampu. SEDEKAH LAPANGKAN HARTA
copy paste dr kak suzie sini
***D'kamar Hatiku Jajahan Hatimu***
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
5 comments:
sedihnya....speechless...
sebak...
Betul tu dimana2 pasti ada insan yg masih hidup susah
Dah pernah baca. Sedih sgt :-(
dah baca... & dah hulurkan bantuan... kalau tak mampu dr segi kewangan, berdoalah...
Post a Comment